6c) <b>Makanan tradisional di</b> Kelantan - Google Blog - Blog Makanan <b>...</b> - Blog Makanan di Kuala Lumpur |
6c) <b>Makanan tradisional di</b> Kelantan - Google Blog - Blog Makanan <b>...</b> Posted: 23 May 2014 12:32 AM PDT 10 Tempat Makan Best Dan Menarik Di Kuala LumpurBandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Kelang pastinya bukan asing kepada kita semua. Ia sememangnya merupakan kawasan tumpuan masyarakat dari seluruh negara malah luar negara. Kebanyakannya bekerja di sini, ada juga yang belajar, berniaga dan tidak kurang juga yang melancong dan bersiar-siar. Dunia telah memperakukan bahawa Kuala Lumpur adalah salah satu pusat membeli-belah terkenal di dunia yang menawarkan pelbagai barangan pada harga yang berpatutan. Selain itu, Kuala Lumpur dan Lembah Kelang turut menawarkan pelbagai makanan yang diilhamkan daripada resipi seluruh negara malah dari beberapa pelusuk dunia. Tidak boleh dinafikan bahawa makanan merupakan antara industri berskala besar di Kuala Lumpur yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi. Oleh itu, di sini disenaraikan 10 tempat makan meliputi pelbagai genre makanan yang dirasakan antara yang terbaik. Namun ia tidak berdasarkan "ranking".
Restoran Murni Bukit Jalil 41, Jalan 16/155C, 57000 Bukit Jalil, Kuala Lumpur
Sekiranya anda berjalan-jalan di sekitar Bukit Jalil dan tiba-tiba terasa lapar, kini terdapat satu lagi pilihan tempat makan yang amat menyelerakan iaitu Restoran Murni. Sebenarnya Restoran Murni ini adalah salah satu cawangan daripada Restoran Murni yang terletak di SS2 Petaling Jaya. Menu yang ditawarkan juga hampir sama. Restoran Murni ini menawarkan makanan barat (western food), makanan ala thai dan pelbagai lagi menu yang sesuai untuk disajikan kepada seisi keluarga. Antara menu yang disarankan oleh pengunjung-pengunjung tetap restoran ini adalah Mee Raja dan juga Spagheti Seafood Carbonara yang dianggap antara menu tersohor di sini. Selain itu, makanan barat seperti Chicken Grill juga boleh didapati pada harga yang berpatutan dan cara hidangannya amat impresif dan membuka selera. Makanan barat lain turut memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Roti Hawaii yang berkonsepkan roti canai / murtabak dan pizza ini pula merupakan menu yang sungguh jarang didapati di tempat lain. Makanan Melayu seperti nasi lemak juga dihidangkan dengan cara yang tersendiri. Biasanya ia disertakan dengan pilihan rendang daging dan ayam. Bagi yang menggemari nasi lemak, nasi lemak di sini tidak mungkin mengecewakan. Satu perkara yang menjadi buah mulut dikalangan pengunjung adalah perkhidmatannya yang boleh dianggap berkualiti kerana makanan disediakan dalam masa yang pantas. Layanan juga dikatakan kelas pertama. Bagi mereka yang benar-benar kelaparan, anda tidak perlu memesan makanan lebih kerana restoran ini menghidangkan dalam kuantiti yang banyak untuk setiap hidangan. Sekiranya anda tersesat atau sememangnya berada di kawasan Bukit Jalil, restoran ini boleh menjadi salah satu destinasi anda.
Restoran Alissara (Thai Cuisine) Cs23 Jalan Indah 3/2, Taman Puchong Indah, Puchong
Masakan Thai merupakan salah satu menu kegemaran rakyat Malaysia di mana-mana saja. Restoran masakan Thai pula tumbuh bagai cendawan tidak kira di kota mahupun di desa. Ada yang berjaya menawan selera pelanggan malah ada juga yang suam-suam kuku. Di Puchong, Restoran Alissara Thai Cuisine boleh dianggap berada dalam kelasnya yang tersendiri. Bermula lebih 6 tahun dulu di Puchong Perdana, ia berkembang menjadi sebuah restoran yang setanding dengan restoran Thai yang lain seperti Sabye Sabye Thai atau Seri Thai. Restoran ini adalah eksklusif untuk makanan Thai. Menunya meliputi hidangan ala carte berbentuk nasi, bihun, mee dan sebagainya. Tidak kurang juga menu lauk pauk seperti ikan kerapu masam manis, ikan siakap tiga rasa, pilihan aneka tomyam dan menu masakan seafood seperti kerang-kerangan, siput, lalah, udang serta sotong. Terdapat juga menu sayuran seperti kailan dan kangkung. Menurut pelanggan-pelaggan tetap restoran ini, makanan di sini mempunyai rasa Thai sebenar walaupun sedikit pedas. Cuma ada yang memilih sup perahu pecah dan kari hijau berbanding tomyam. Salah satu kelebihan yang sering disebut berkenaan restoran ini adalah kesegaran makanan lautnya samada ikan, udang, sotong, ketam mahupun apa saja. Tahap perkhidmatannya juga agak baik dan harganya walaupun tidak semurah warung tetapi masih menjimatkan berbanding restoran makanan Thai yang termasyhur. Tidak hairanlah jika restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan dan menjadi pilihan utama. Ada yang menganggap Restoran Alissara ini adalah restoran makanan Thai terbaik di Puchong. Satay Willy Sungai Ramal Food Junction, Kajang
Sate Kajang pastinya bukanlah nama yang asing dikalangan rakyat Malaysia. Daripada kanak-kanak sehinggalah yang tua pasti tahu dan pernah merasakan keenakan sate Kajang. Apabila berbicara tentang sate Kajang, tidak dapat tidak nama Haji Samuri akan menjadi bualan. Namun di Sungai Ramal Food Junction, terdapat Satay Willy yang semakin mencipta nama. Beroperasi bermula sebelah petang, barisan beratur akan mula panjang selepas jam 6 petang dan mencapai kemuncak pada jam 8 malam. Sate yang dihidangkan di sini sangat 'juicy' dan lembut dan begitu mudah memikat selera siapa saja yang merasainya. Dengan harga yang amat berpatutan iaitu bermula daripada 70 sen, ia pastinya berbaloi untuk dicuba. Gerai Satay Willy ini menawarkan aneka pilihan sate berserta set lengkapnya seperti timun dan bawang serta kuah yang pekat dan sedap. Juga terdapat lontong iaitu nasi impit berbalut daun pisang berbentuk lemang yang amat mengenyangkan. Keenakan Satay Willy ini dikatakan setaraf dengan satay Haji Samuri malah ada pelanggan yang tidak ragu-ragu mengatakan Satay Willy lebih sedap dan berbaloi. Oleh kerana kedudukannya di 'food junction' maka makanan lain turut terdapat daripada gerai yang lain untuk variasi. Minuman juga boleh dipesan dari mana-mana gerai minuman yang ada di situ. Mali's Corner Taman Bunga Raya, Jalan Malinja 2, Taman Bunga Raya, Setapak Kuala Lumpur
Kuala Lumpur menjanjikan makanan yang terbaik walaupun berasal daripada tempat lain. Char kuey teow yang berasal daripada Pulau Pinang masih boleh dinikmati ketulenannya di Mali's Corner, Setapak. Melihat barisan yang panjang untuk memesan sudah cukup menggambarkan keenakan makanan tersebut. Tidak mungkin pelanggan sanggup beratur begitu panjang jika hidangannya tidak berbaloi. Mali's Corner Taman Bunga Raya ini selain menawarkan char kuey teow turut juga memiliki menu nasi lemak ayam goreng yang tidak kurang hebatnya. Rasa char kuey teow di sini amat sedap dan menyelerakan dengan kuah yang berperisa dan juga udang yang segar. Sambal nasi lemaknya sedikit manis tetapi masih lagi mampu mengecurkan liur dengan ayam berempah yang berperisa. Walaupun barisan menunggunya agak panjang, namun servis gerai ini amat baik kerana mereka memiliki pekerja yang ramai. Mali's Corner kini memiliki beberapa lagi cawangannya ditempat-tempat yang lain untuk memberikan rasa char kuey teow Pulau Pinang sebenar kepada penduduk Kuala Lumpur. Salah satu kelemahannya adalah pelanggan terpaksa beratur untuk char kuey teow, nasi lemak dan minuman. Ini bererti pelanggan yang keseorangan perlu beratur beberapa kali untuk mendapatkan sajian lengkap. Untuk lebih selesa mungkin anda boleh pergi ke cawangan di Petaling Jaya. Ianya di dalam kedai dan suasananya lebih menarik. Alamat cawangan di Petaling Jaya adalah di Jalan PJS 4/27a (Jalan PJS 2d/1), 46000 Petaling Jaya, Selangor.
Restaurant Rosdet Tomyam 160, Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur, Kampung Baru, 50300, Kuala Lumpur
Tomyam Kampung Baru, satu istilah yang amat sebati di kalangan penggemar-penggemar tomyam sekitar Kuala Lumpur dan juga di kalangan pengunjung-pemgunjung dari luar. Maka tidak hairanlah sekiranya restoran tomyam sekitar Kampung Baru sering dipenuhi pelanggan terutamanya pada musim cuti. Antara restoran yang memikat selera adalah Restoran Rosdet Tomyam yang terletak bersebelahan KL International Hotel. Tarikan tomyam restoran ini amat kuat sehingga ada pengunjung dari luar yang sanggup "check-in" di hotel KLI semata-mata kerana tomyam tersebut. Tomyam di sini boleh dipesan dalam pelbagai kombinasi samada tomyam ayam, daging, seafood, udang atau apa saja yang berkenan di hati. Kuahnya juga amat unik dan hanya boleh dirasai di restoran ini. Rasa tomyam yang pekat, pedas dan masam secukupnya membuatkan anda akan datang lagi tanpa berfikir panjang. Selain tomyam yang merupakan mercu tanda restoran ini, ia juga menghidangkan makanan laut yang enak serta juga masakan Thai yang boleh dikategorikan sebagai "excellent". Sup campur dan sup sayurnya juga berada dalam tahap memukau. Satu lagi menu yang kerapkali menambat selera pengunjung-pengunjung tetap adalah nasi bubur berlauk yang amat memuaskan. Jika anda memesan teh atau kopi halia di restoran ini, jangan terkejut sekiranya anda akan mendapat seketul halia segar di dalam minuman anda. Harga makanan di sini juga berpatutan kerana ia dihidangkan agak banyak. Oleh itu, ia adalah tempat makan keluarga yang paling sesuai. Persekitarannya juga amat bersih dan servisnya juga boleh dianggap baik jika dilihat kepada tahap kesibukan di restoran ini.
Warung Dusun Gearbox Persiaran Jaya (Seksyen 9), 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Terdapat beberapa premis masakan sup di Lembah Kelang yang menawarkan sup daging, sup tulang dan sup ayam yang terbaik. Namun sup gearbox warung Dusun di Bangi ini tidak boleh ditandingi mana-mana sup yang lain. Sup tulang kaki atau gearbox di sini amat menyelerakan dan digemari penduduk tempatan mahupun pengunjung dari luar. Supnya yang berperisa, daging yang lembut membalut tulang serta sum-sum dalam tulang yang amat sedap. Di sini, anda boleh melihat setiap meja pasti ada semangkuk besar sup gearbox lengkap dengan penyedut minuman untuk menyedut kuah dan sum-sum. Ada pengunjung yang menyedut hingga pening lalat. Lupakan seketika masalah lain kerana sup di sini memang terbaik untuk dinikmati. Bagi pelanggan yang tidak gemarkan sup, di sini juga terdapat makanan lain seperti mee, kueyteow, bihun malah nasi serta lauk pauk yang juga membuka selera. Ikan bakarnya juga tidak menghampakan. Terdapat ikan siakap, kembung dan bermacam-macam lagi tetapi rata-rata pengunjung memilih ikan pari bakar yang dianggap "marvellous". Tomyam di sini juga boleh dilabelkan sebagai antara yang terbaik. Persekitaran warung ini amat menyegarkan dan menarik kerana ia di kelilingi oleh gerai-gerai otak-otak, tauhu bakar dan ikan bakar serta bermacam-macam lagi juadah untuk dinikmati secara santai. Otak-otak di sini boleh diangkat setaraf dengan otak-otak Gelang Patah yang popular dari Johor tersebut. Ini juga adalah salah satu menu istmewa yang mesti dicuba di warung dusun bangi ini. Harganya, pastinya lebih murah berbanding restoran tomyam yang lain di sekitar Bangi. jadi sekiranya anda di Bangi atau dalam perjalanan melalui Bangi, amat wajar untuk singgah dan menikmati sup gearbox dan otak-otak di Warung ini.
Burger Bakar Abang Burn Dagang Avenue (Jalan B/3A, Taman Dagang), 68000 Ampang, Selangor
Burger, burger, burger. Antara menu yang paling popular di dunia. Hampir setiap individu di dunia tahu apa itu burger. Burger adalah antara sajian lengkap yang mempunyai karbohidrat, protein dan sayuran dalam satu hidangan yang sama malah boleh dikatakan dalam setiap gigitan. Malah ia adalah sajian yang ringkas, cepat dan mobil. Kini burger diinovasikan dalam pelbagai cara dan perisa mengikut selera masyarakat setempat. Di Malaysia ketika ini, burger bakar mula menjadi bualan dan amat digemari dimana saja. Burger Bakar Abang Burn merupakan salah satu perintis kepada fenomena ini. Kedai mereka di Ampang boleh dianggap ibu pejabat kepada lebih 19 cawangan yang beroperasi kini kerana di sinilah sejarah kedai burger ini bermula. Menurut penggemar-penggemar burger bakar, Abang Burn adalah penyaji burger bakar terbaik dalam kelasnya. Burger yang disajikan mempunyai patti daging yang lembut dan berjus dengan roti juga lembut dan berperisa. Ayamnya juga garing dengan isi yang basah dan berempah. Sosnya juga tak terlalu meleleh dan memintas selera. Setiap gigitan membuatkan kita seolah-olah melantun ke udara. Ditambah dengan sayuran yang segar dan bersih. Saiznya juga seimbang dan tidak keterlaluan. Pendek kata burger bakar Abang Burn ini hampir sempurna. Selain burgernya yang enak, kedai ini turut menyajikan meatball ala IKEA yang "outstanding". Hidangan ini juga boleh dianggap 'killer' di sini. Dagingnya begitu baik diperisakan dengan rempah ratus yang rahsia. Jika dimakan dalam kuahnya yang unik, sememangnya satu kombinasi yang terbaik. Harganya pastilah amat berbaloi dan servis yang pantas menyumbang kepada permintaan yang amat tinggi. Jika anda lambat, pasti terperangkap dalam barisan yang panjang. Boleh juga baca artikel kami Burger Bakar Abang Burn di Ramal Junction di sini.
IKEA Food Court@Mutiara Damansara No.2 Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara, 47800 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
IKEA merupakan sebuah pasaraya perabot dari Sweden yang tidak asing dikalangan warga negara ini. Perabotnya yang moden dan ringkas menarik perhatian masyarakat Malaysia. Namun IKEA bukan saja pengeluar perabot yang baik tetapi juga menyajikan makanan yang baik. Di tingkat bawahnya, terdapat "food court" yang menghidangkan makanan ala Eropah yang popular. Menu di sini terdiri daripada savouri dan pencuci mulut yang amat enak. Ia juga dihidangkan dengan amat kreatif dan menarik. Terdapat kek ala Eropah (terutamanya Sweden), masakan salmon dan beberapa lagi menu Scandinavian yang enak-enak belaka. Daripada kebanyakan menu yang ditawarkan, paling popular semestinya "meatball" yang dihidangkan dalam sos yang tersendiri. Dikenali sebagai Swedish Meatball, ia merupakan "signature dish" di sini. Malah dianggap antara "meatball" terbaik di Lembah Kelang. Di mana-mana sahaja, pasti Swedish Meatball ini akan menjadi bandingan sekiranya membabitkan hidangan "meatball". Boleh dikatakan majority pelanggan ke "food court" ini malah pengunjung IKEA tidak akan melepaskan peluang menikmati hidangan ini. Ada juga kalangan yang sengaja datang semata-mata untuk makan di "food court" ini. Untuk berlaku adil, makanan lain di sini juga tidak mengecewakan.
Restoran Nelayan Titiwangsa Taman Tasik Titiwangsa, Jalan Temerloh, 53200 Kuala Lumpur
Taman Tasik Titiwangsa amat dikenali sejak dulu sebagai salah satu tempat pelancongan menarik untuk dilawati. Berhampiran taman ini juga terdapat beberapa tempat tarikan pelancong seperti Istana Budaya dan juga Galeri Seni Kebangsaan. Jika anda mahukan pemandangan indah berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas, pastinya di sinilah tempat terbaik.
Satu tarikan utama sejak dulu di sini adalah Restoran Nelayan yang menghidangkan makanan laut serta masakan Melayu sejati dalam persekitaran yang nyaman seolah-olah terapung di atas tasik. Pada waktu tengahari, hidangan makanan laut ala melayunya amat memikat dihidangkan secara ala carte dan juga lunch buffet. Pada malamnya pula, restoran ini menghidangkan steamboat pada harga yang amat berpatutan. Walaupun ada yang berpandangan sup steamboat di sini sedikit pedas, namun masih antara yang terbaik di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur. Pilihan komponen steamboatnya tidaklah terlalu banyak dan bervariasi tetapi masih berbaloi dengan harganya yang murah. Selain steamboat, terdapat juga menu ala carte dan pencuci mulut tradisional yang menyelerakan. Restoran ini amat sesuai untuk perhimpunan keluarga atau pertemuan semula sesama sahabat kerana persekitarannya yang santai. Malah terdapat juga dewan yang besar untuk majlis-majlis keramaian ataupun makan malam syarikat. Kemudahan bersolat juga terdapat di sini bagi memastikan pelanggan tidak perlu risau dengan ketibaan waktu solat. Melihat persekitaran dan suasana di sini pada waktu malam, sangat terasa keharmonian dan menampakkan betapa gembira dan bahagianya pelanggan-pelanggan di sini. Jadi, bersiar-siar di Tasik Titiwangsa boleh dilengkapkan lagi dengan steamboat Restoran Nelayan ini. SABA Restaurant (Cyberjaya) 4800 Suite 0-2, G-Floor, Block A1 (Jalan Perdana), 63000 Cyberjaya, Selangor
Daripada sepuluh penggemar nasi Arab, lapan orang memilih nasi Arab Restoran Saba' Cyberjaya yang dianggap sebagai nasi Arab terbaik di Lembah Kelang. Makan di sini seolah-olah anda berada di Timur Tengah dengan menunya yang melambangkan keenakan makanan Arab. Terdapat pelbagai menu yang boleh dicuba bermula daripada Thanoush, Kebab, Khabshah, Mandy sehinggalah kepada Hanith yang boleh dipilih samada ayam atau kambing, semuanya menyelerakan. Pengunjung di sini tidak dapat bersatu memberikan saranan menu terbaik kerana semuanya boleh dianggap terbaik tetapi mereka bersatu menyatakan bahawa makanan di sini amat enak dan sangat terasa "arab"nya. Sungguhpun begitu, hidangan pencuci mulut seperti baklava dianggap biasa dan tidak setanding hidangan yang lain. Hidangannya pula adalah di dalam "portion" yang besar sehingga ada yang mencadangkan anda berkongsi pinggan. Ada sesetengah pelanggan menganggap kadar harganya agak tinggi terutamanya bagi menu kambing. Manakala daripada segi perkhidmatannya, menu panggang dikatakan mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar 30 ke 40 minit untuk disiapkan. Walau apapun, kualiti masakan Arab di sini masih berbaloi untuk dicuba. Tempat-tempat makan yang disenaraikan di atas bukanlah muktamad dan kemungkinan masih banyak tempat yang lebih baik. Namun sedikit sebanyak ia boleh memberi gambaran kepada penduduk mahupun pengunjung dari luar untuk mendapatkan makanan terbaik di Kuala Lumpur mengikut selera dan lokasi masing-masing. Anda tidak perlu bimbang kerana Kuala Lumpur tidak pernah menghampakan untuk mendapatkan makanan terbaik yang berasal dari seluruh pelusuk Negara. Pendek kata, dari mana anda datang, apa saja yang anda idamkan, hanya perlukan sedikit kesungguhan mencarinya. Sumber : Saji |
You are subscribed to email updates from Makanan tradisional di Kuala Lumpur - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
No comments:
Post a Comment